Wednesday 14 December 2011

Definisi Poster

Poster ialah suatu bentuk rekaan grafik yang melibatkan tipografi, ilustrasi, warna dan reka letak yang digubah untuk menyampaikan maklumat secara mudah. Poster merupakan satu elemen dalam promosi, kempen  dan sebagainya. Kebiasaannya, rekabentuk  poster bersifat 2D meliputi bahan yang  dilukis, dicat, ditulis atau dicetak. 

Poster selalunya digunakan bagi promosi untuk mempamerkan produk syarikat, aktiviti masyarakat, kempen oleh pihak kerajaan dan sebagainya. Ia biasa dilihat ditampal pada dinding dan digantung di sekolah, di pejabat dan di tempat awam yang lain. Sebagai contoh, poster dapat menonjolkan keistimewaan mesej kemasyarakatan dan pengiklanan untuk ditontonkan di tempat menunggu bas misalnya. Antara pereka grafik terkenal di Amerika dan Eropah yang menghasilkan poster yang menarik dan bertaraf dunia seperti Oskar Kokoschka dan Ben Shehn.
                
Poster adalah dalam bentuk dua dimensi, format halaman yang berasingan digunakan untuk mempamerkan maklumat, data, jadual atau tawaran dan juga mempromosikan kepada masyarakat tentang sebab, tempat, produk, syarikat, penyelenggaraan dan organisasi yang hendak disebarkan kepada umum. Kebanyakan poster digantungkan di tempat-tempat awam supaya senang dilihat walaupun dari jarak jauh. Poster sangat penting untuk mengingat dan menarik perhatian masyarakat di sesuatu tempat seperti pada billboard, papan tanda dan lain-lain visual. Poster yang dianggap berjaya adalah poster yang dapat menyampaikan mesej dengan jelas kepada masyarakat.

Visual pada poster adalah sebuah rekabentuk yang seimbang dalam jangka masa tertentu yang menunjukkan skala ruang positif dan negatif. Saiz imej yang diguna haruslah memberi kesan kepada sesebuah hasil rekabentuk yang menarik. Melalui pemahaman skala, ia akan memberikan pereka satu siri dalam membuat ilusi tentang kedalaman dari segi ruang, membuat kejutan dan membuat visual dinamik atau kepelbagaian. Poster mungkin direka hanya menggunakan tipografi atau kombinasi visual dan visual itu mungkin berbentuk abstrak, piktograf, simbolik, ilustrasi, visual grafik, fotografi atau kolaj atau campuran atau kepelbagaian. Merekabentuk poster adalah suatu cabaran dalam proses penyampaian mesej komunikasi yang berkesan.      

Jenis-jenis Poster
i.            Dekoratif
ii.           Kreatif dan artistik
iii.         Perkhidmatan awam
iv.         Hiburan
v.          Pameran dan pertandingan
vi.        Sukan 
vii.      Iklan dan promosi
viii.    Media dan teknik percetakan

Sejarah Poster
Bermula dengan penciptaan mesin cetak (1476), ciptaan Guttenberg diperkenalkan oleh  Caxton di England. Poster pertama dihasilkan ‘Cuparas’ yang berfungsi sebagai media penyebaran maklumat. Poster yang awal wujud bersama-sama dengan perkembangan industri percetakan pada abad ke 15 di Eropah dan hanya menggunakan susunan huruf semata-mata.

        

Poster yang menggunakan ilustrasi mula wujud pada abad ke-17 apabila munculnya teknik cetakan litografi. Pada masa ini juga teknik ‘ukiran kayu’  diperkenalkan  bagi poster ilustrasi. Pelukis-pelukis yang aktif dalam penghasilan poster ketika itu termasuk Honore Daumier (1808-1974) , Jules Cheret (1836-1932) Henri de Toulouse-Lautrec (1864-1901) dan Pierre Bonnard  (1867-1974). Fungsi poster pada ketika itu kebanyakannya digunakan untuk propaganda dan pemberitahuan selain daripada fungsi  pengiklanan. Pada tahun 1796, teknik ‘litografi’ yang pertama telah dihasilkan oleh Senefelder. ‘LA BISHE AU BOIS’ dihasilkan oleh Jules Charet (1876) dianggap poster litografi berwarna  yang paling menarik dan moden. 


Sejarah Perkembangan Poster di Perancis


Henri de Toulouse-Lautrec, mempunyai pengaruh kuat ke atas poster moden. Beliau memahami bahawa poster adalah salah satu alat komunikasi. Henri menterjemahkan ideanya kepada teknik seni cetak litografi. Poster-posternya dianggap kreatif dan inovatif dan dapat dihayati oleh orang awam di Perancis dan Paris. Poster Henri de Toulouse- Lautrec memaparkan penyanyi Kabaret dan penari Jane Avril (1893). Gaya dan rekabentuk poster berwarna mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan seni reka grafik di abad ke-21.


Sejarah Perkembangan Poster di Jerman

Di Jerman, penggunaan litografi dalam poster begitu ketara penonjolannya serta pengolahan yang radikal.Ini menunjukkan bahawa dalam rekabentuk , tipografi seharusnya berbentuk terang & jelas.Ciri-ciri ini penting dalam menggunakan poster sebagai media untuk berkomunikasi. Ini jelas ditunjukkan oleh pelajar-pelajar dan mereka yang mengikut fahaman pergerakan Sekolah Bauhaus (1919). Laszlo Maholy-Nagi (1895-1946) menganggap poster yang baik harus mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di atas. 


Serigrafi atau cetak sutera-saring merupakan satu- satunya teknik menghasilkan poster popular, ia bersifat imaginatif serta memberi impak terhadap audien. Serigrafi sesuai untuk produksi berganda khusus terhadap imej yang menggunakan ruang warna yang rata. Penggunaan photo silk-screen untuk reka bentuk poster telah memberi nafas baru & menaikkan taraf serta nilai estetika & kreativiti. Poster iklan merupakan satu bentuk iklan yang mudah dan tepat.

 
Perkembangan Rekabentuk Poster di Malaysia


Kehadiran poster di negara ini dianggap bermula semasa pemerintahan Jepun yang pada masa itu menggunakan poster sebagai alat penyebar maklumat secara khusus untuk tujuan propaganda disebarkan kepada seluruh rakyat. Poster yang ringkas dengan satu warna sahaja berukuran kira-kira 12’x 15’ di tampal di rumah-rumah dan pokok serta bangunan tertentu. 


Kemasukan British ke Malaya dan zaman darurat memperlihatkan lagi perkembangan rekabentuk poster yang dianggap lebih dinamik dan berkesan dari segi persembahan dan mesej. Kempen menyeru rakyat agar menyertai anggota tentera British melawan tentera Jepun dan Komunis tersebar luas di seluruh negara berseiringan dengan poster di Amerika yang popular dengan imej ‘Uncle Sam’. 


Fungsi Poster


i) Poster digunakan untuk pengiklanan (produksi)
Poster digunakan untuk mengiklankan barang dan perkhidmatan. Biasanya poster digunakan untuk mengiklankan produk-produk yang terdapat di pasaran. Perkhidmatan sesuatu syarikat juga diperkenalkan kepada orang ramai melalui poster. Sebagai contoh poster digunakan untuk mengiklankan produk makanan. Selain itu poster juga  digunakan dalam akademik untuk menerangkan dan mempromosikan hasil kajian yang biasanya ditunjukkan semasa persidangan sebagai pengenalan awal.


ii) Poster untuk tujuan komersial
Poster digunakan untuk mempromosikan filem dan persembahan dalam dunia hiburan dan juga mempromosikan acara-acara  yang dianjurkan seperti acara sukan atau acara rakyat.


iii) Poster sebagai alat hebahan propaganda (politik)
Poster juga digunakan untuk menghebahkan  suatu mesej, fahaman atau pun propaganda. Selain itu ia juga digunakan untuk menyebarkan fahaman politik.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...